Sunday 18 August 2013

KEPENTINGAN GEOLOGI KEPADA MASYARAKAT
(wawancara bersama Prof. Dr. Ibrahim Komoo)

GEOLOGI, cabang daripada Sains Bumi adalah suatu ilmu yang mengkaji keadaan, perkembangan dan kandungan bumi serta kajian terhadap kejadian, perkembangan dan evolusi hidupan di bumi. Pada masa kini, geologi merangkumi juga kajian mengenai cekrawala seperti planet dan satelit. Sebahagian daripada ilmu berkenaan menggunakan antara lain prinsip, hukum dan pengetahuan bidang bologi, fizik, kimia dan matematik. namun begitu, masih ramai yang tidak mengetahui kepentingan dan prospek bidang geologi kpd masyarakat dan negara.

Ikuti wawancara RADZUAN GHAZALI dari Perhubungan Awam UKM dengan pensyarah Jabatan Geologi (JG) [kini Program Geologi], Fakulti Sains Fizik da Gunaan (FSFG) [kini Fakulti Sains dan Teknologi (FST)] Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROF DR IBRAHIM KOMOO mengenai bidang geologi.

Soalan: Apakah sebenarnya bidang Geologi?

Jawapan: Bidang geologi adalah ilmu sains mengenai planet bumi. Kita mendalami ilmu mengenai bahan yang membentuk bumi dan proses yang terus menerus merubahnya. Geologi berkait rapat dengan alam sekitar fizikal dan sejarah alam semesta dan hidupan yang terdapat di permukaan bumi. Kita melihat apakah telah berlaku sejak 4,600 juta tahun lampau, dan boleh meramal apakah yang akan berlaku pada masa hadapan. Geologi tidak sahaja mengenai sains tulen, tetapi banyak membabitkan aspek sains gunaan. Kita mengkaji bumi untuk kesejahteraan masyarakat dan untuk kesihatan alam sekitar.

Soalan: Geologi satu bidang luas berkaitan alam ciptaan Tuhan. Boleh Prof klasifikasikan bidang berkenaan dengan lebih terperinci.

Jawapan; geologi satu bidang ilmu yang luas. ia mempunyai cabang ilmu yang bersifat tulen dan gunaan. Saya nyatakan beberapa bidang utama sahaja: contohnya -geomorfologi iaitu bidang yang mendalami mengenai proses dalam dan luar bumi yang mengukir bentuk mukabumi. -Petrologi ialah bidang yang mengkaji asal-usul batu-batan: -Mineralogi ialah sains mengenai mineral: -Paleontologi pula ialah cabang mengenai kajian sistematik hidupan kuno (fosil) -Sedimentologi ialah aspek sekitaran sedimen dan pembentukan batuan endapan -geologi Struktur kajian mengenai daya tektonik yang mengubah batuan asal : -Geofizik cabag kajian batuan menggunakan prinsip fizik -Geokimia aspek analisis yang menggunakan kaedah kimia. Beberapa cabang geologi gunaan termasuklah geologi petroleum untuk penerokaan sumber gas dan minyak bumi; geologi ekonomi ilmu untuk meneroka bijih dan industri; dan geologi kejuruteraan pula cabang penggunaan ilmu geologi untuk penyiasatan kesesuaian dan kestabilan tapak pembinaan dan kajian geobencana. Di peringkat ijazah pertama, pelajar hanya mampu didedahkan kepada asas-asas semua cabang geologi ini. Apabila mendapat ijazah mereka hanya merupakan seorang ahli geologi umum.

Soalan: Setiap Kejadian bencana mempunyai kaitan dengan aspek geologi. Boleh Prof jelaskan?

Jawapan: Bencana semulajadi ialah proses dalaman dan luaran yang merubah permukaan bumi dengan kadar yang pantas sehingga manusia terkorban atau hartanya musnah. Proses begini lazimnya berkaitan dengan letusan volkano atau gempa bumi iaitu proses dalaman, atau tanah runtuh, hakisan pantai dan pemendapan tanah iaitu proses luaran. Oleh itu, ilmu geologi seperti geomorfologi , geologi struktur dan petrologi mengkaji proses-proses ini dengan mendalam. bagaimanapun, aspek bencana dan kestabilan pembinaan diteliti oleh cabang geologi kejuruteraan.

Soalan: Setiap akademik di JG UKM adalah pakar dalam bidang masing-masing. Boleh prof nyatakan bidang kepakaran yang ada dalam bidang geologi (termasuk prof)

Jawapan: Di UKM, kita mempunyai pakar dalam pelbagai cabang geologi, dan boleh dikatakan terlengkap di Malaysia. Saya dan dua rakan lain adalah ahli geologi kejuruteraan. Kita mempunyai tiga ahli sedimentologi, tiga ahli paleontologi, dua ahli petrologi, dua ahli geologi struktur, dua ahli geofizik, dua ahli geokimia, dan masing2 seorang pakar dalam bidang mineralogi, geologi ekonomi, geomorfologi, sains tanah dan hidrogeologi.(Setakat tahun 1998, ketika akhbar ini diterbitkan). Walaupun kita mempunyai dua atau tiga ahli dalam suatu bidang, mereka mempunyai pengkhusussan yang berbeza pula. Sebagai contoh, tiga ahli paleontologi masing-masing mengkhususkan dalam Palinologi, Mikro paleontologi dan makrofosil.

Soalan: Bidang geologi salah satu bidang yang ditawarkan di peringkat Ijazah sarjanamuda di FST UKM. Biasanya bidang ini kurang menjadi tumpuan mahasiswa berbanding bidang laindi peringkat ijazah sarjana pertaa. Mengapa?

Jawapan: sesuatu yang sangat merugikan kerana kurang pelajar mengikuti program geologi. mereka tidak mengambilnya kerana tidak tahu mengenai bidang ini disebabkan geologi tidak diajar di peringkat sekolah. Di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat, mata pelajaran Geologi atau Sains Bumi diajar disekolah, oleh itu ramai pelajar yang memahami bidang ini dan bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang geologi di universiti. Sains bumi sama seperti Biologi, Fizik, Kimia dan matematik adalah kelompok sains asas yang penting dalam pembangunan fahaman sains di peringkat sekolah. Kementerian Pelajaran perlu meneliti perkara ini.

Soalan: Kenapa lelaki lebih meminati bidang ini berbanding perempuan?

Jawapan: pada masa dahulu, ahli geologi dikehendaki masuk hutan dan membuat pemetaan geologi sehingga berbulan-ulan lamanya. Keadaan yang mencabar begini tidak menggalakkan wanita menceburi kerjaya ini.Tetapi pada masa sekarang, kebanyakkan ahli geologi bekerja di makmal atau pejabat, dan tapak pembinaan di kawasan bandar. Tambahan pula, wanita sekarang suka kerjaya mencabar. Saya berharap lebih ramai pelajar wanita mengambil program ini.

Soalan: Ada beranggapan bidang geologi tidak sepopular di kalangan pelajar FSFG berbanding bidang pengkhususan lain di fakulti. Boleh prof jelaskan.

Jawapan: Pelajar yang masuk ke FSFG sudah tahu mengenai fizik dan kimia, malah sebahagian mereka telah lama menjadi ahli fizik atau kimia. Mereka tidak tahu apa itu geologi? Dari sudut ini sahaja, sudah jelas tidak ramai yang akan mengikuti program geologi. Ada beberapa kali saya memberikan ceramah mengenai geologi kepada ahli sains lain. Saya sering dihampiri oleh mereka, lantas menyatakan kalau saya tahu geologi seronok begini, pasti akan mengambil bidang geologi di universiti dahulu. Jelasnya, geologi ialah ilmu sains yang mencabar dan seronok, Cuma tidak ramai yang mengetahuinya.

Soalan: Apakah prospek dan kepentingan bidang geologi di Malaysia?

Jawapan: Saya perlu berterus terang. Walaupun kerajaan menggalakkan pelajar mengambil bidang sains, prospek bekerja sebagai ahlu sains di Malaysia masih belum begitu meluas. Sama ada ahli fizik, kimia , biologi atau geologi, tidak banyak kerjaya yang membuka pintu untuk mereka. Walaupu begitu, semua pelajar Geologi lepasan UKM teah mendapatkan kerja, tidak ada yang mengganggur. Sebetulnya jika pelajar mendapat kelulusan yang baik, banyak peluang mereka bekerja di negara ini. Di pihak kerajaan, kita mempunyai Jabatan Penyiasatan Kajibumi (kini Jabatan Mineral dan Geosains, JMG), ia terus mengambil ahli geologi untuk mengisi kekosongan atau mengganti yang akan bersara. Beberapa jabatan kerajaan lain sudah mulai mengambil ahli geologi. Syarikat-syarikat petroleum seperti Petronas mengambil ahli geologi. Industri perlombongan atau bahan binaan juga perlukan ahli geologi. Saya perhatikan sejak 10 tahun terakhir ini, sudah muncul beberapa syarikat yang memberikan servis khusus mengenai geologi. Ringasnya, kerjaya geologi di negara ini semakin berkembang.

Soalan: Boleh prof jelaskan latar belakang pendidikan prof dan kerja kini serta kajian yang dilakukan.

Jawapan: Saya mendapat pendidikan ijazah pertama dalam bidang geologi dari UKM pada 1976. Saya ke UK dan meraih ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Geologi Kejuruteraan pada 1979. Sejak itu saya bekerja sbg pensyarah di UKM. Saya pernah bertugas sbg pengurus kanan di Petronas pada 1990 hingga 1993. Minat saya dalam penyelidikan sangat mendalam. Selama lebih 20 tahun saya menjalankan penyelidikan dalam pelbagai aspek geologi kejuruteraan. Aspek utama ialah pencirian profil luluhawa di terain tropika untuk kegunaan kejuruteraan, kajian siat kejuruteraan jasad batuan lemah, dan analisis kegagalan cerun termasuk bencana semulajadi. Akhir-akhir ini saya telah memberi tumpuan kepada kajian pemuliharaan sumber warisan geologi dan perancangan pembangunan berteraskan risiko geobencara. Dari semasa ke semasa, saya turut memberi khidmat perundingan mengenai penyiasatan tapak pembinaan, tanah runtuh dan baik pulih cerun, pembinaan di kawasan bermasalah dan penilaian impak alam sekitar.

Soalan: Sebagai ahli akademik, tentu ada kenangan manis atau suka duka ketika bertugas. Boleh jelaskan

Jawapan: Banyak kenangan suka duka ketika bertugas sebagai ahli geologi. Kebanyakkannya berkaitan dengan kerja lapangan atau fieldwork. Pernah saya menasihati anak sulung saya, jika nak pilih teman wanita, bawalah naik ke Gunung Tahan dahulu. Di lapangan susah untuk berpura-pura. Dalam keadaan tertekan an serba kekurangan, mudah untuk mengenali siapa rakan dan siapa lawan. Ketika beberapa hari di dalam hutan umpamanya, kita perlu saling membantu. Pelajar geologi sangat rapat dengan pensyarahnya, walaupun telah lama meninggalkan universiti, hubungan ini terjalin sewaktu fieldwork.

Soalan: Apakah harapan prof mengenai penawaran bidang geologi?

Jawapan: Program geologi perlu diteruskan. Banyak perananya dalam pembangunan negara. Pada masa kini, pembangunan industri perlombongan, carigali petroleum dan penyiasatan tapak untuk pembinaan infrastruktur berat seperti jalan raya dan empangan memerlukan pengetahuan geologi. Geologi sebagai ilmu sains tabii mengenai planet bumi boleh memberikan sumbangan yang bermakna dan lebih meluas kepada kesejahteraan masyarakat. Perancangan pembangunan wilayah dn guna tanah, kawalan bencana tabii, pembangunan dan pengurusan sumber bahan binaan dan industri, pembangunan industri pelancongan, dan penerokaan sumber di dasar lautan dan angkasa lepas juga memerlukan pengetahuan geologi.

Sumber: Berita Harian, 15 Jun 1998, halaman 9.

Sumber : www.jmg.com


No comments:

Post a Comment