Friday 24 April 2015

PERMATA DALAM BIDANG GEOLOGI


PROF. EMERITUS DATO' DR. IBRAHIM KOMOO


Ibrahim Komoo - Guru, Penyelidik, Pensyarah, Pemikir, Pendidik, Profesor, Perintis, Penasihat, Malim, Pakar, dan mentor yang luar biasa. Ibrahim Komoo ialah pemimpin akademik terkemuka Malaysia dan dunia. Beliau mencurahkan bakti selama lebih tiga puluh tahun dalam bidang Sains Kelestarian iaitu pemanfaatan ilmu sains untuk penghidupan seimbang masyarakat. Ibrahim berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dalam bidang Geologi UKM (1976) dan lulusan PhD dalam bidang Geologi Kejuruteraan dari Universiti Stratchclyde, Scotland (1979).

Ibrahim pernah bertugas sebagai Profesor Geologi di UKM ; Ketua Jabatan Geologi UKM; Felo Utama, Pengarah Bersekutu dan Timbalan Pengarah Pengasas, serta Pengarah LESTARI. Pengurus Kanan di Pusat Penyelidikan dan Perkhidmatan Saintifik “PETRONAS”; Timbalan Presiden PKAUKM; Ahli Majlis dan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM); Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM; Naib Presiden Persatuan Geologi Kejuruteraan Antarabangsa (IAEG); Perintis Gagasan Geopark Langkawi; Penilai Geopark Global UNESCO; Presiden Persatuan Geologi Malaysia; Pengarah, Pengasas Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) ; Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar (Majlis Profesor Negara) dan Penasihat Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Kini beliau berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak April 2012.

Ibrahim yang dipanggil “IBK” oleh para sahabat ialah seorang ahli motivasi, penginovasi, penulis, pakar tanah runtuh dan intelek yang sentiasa berkongsi ilmu dengan para pelajar, rakan akademik serta masyarakat melalui pelbagai cara dan menerusi berbagai media termasuk sebagai penulis jemputan terkenal di akhbar tempatan.

Ramai yang telah memberi anugerah dan pengikhtirafan kepada beliau kerana jasa dan kehebatan beliau, antaranya adalah Anugerah Cemerlang UKM; Anugerah Citra UKM; Anugerah Langkawi 2010; International Union of Geological Sciences (IUGS) Science Excellence Award 2012 dalam bidang Environmental Geology; Serta Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sembilan (DSNS) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2006. Pada tahun 2012, beliau telah dianugerahkan gelaran Professor Emeritus dalam bidang Sains Kelestarian.

Ke Tanjung Malim Beli Kelapa
Perisa Sihat Putera Bistari
Budi Ibrahim UKM Tak Lupa
Sentiasa Terpahat di Sanubari

Meningkat Umur Si Anak Watan
Diri terpegun Bila Bersua
Ibrahim Komoo Sentiasa Di Ingatan
Seribu Tahun Terkenang Jua  


Dipetik daripada petikan teks Pidato oleh Prof. Dr. Mazlin Mokhtar




Prof. Emeritus Dr. HD Tjia   (Dr. Tjia Hong Djin)



Atas sumbangan yang begitu cemerlang terhadap perkembangan ilmu geosains di rantau ini, pada 8 ogos 2004 Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganugerahkan Dr. Tjia Hong Djin gelaran Profesor Emeritus dalam bidang Sains Bumi. Sebelum itu, pada bulan Julai 2001 beliau telah dianugerahkan oleh UKM Ijazah Kehormatan Doktor Sains dalam bidang yang sama. Penghargaan yang begitu tinggi oleh UKM terhadap beliau turut dikongsi bersama seluruh komuniti geologi di rantau ini dan dipersada antarabangsa. Tidak hairanlah mengapa beliau telah sering dijadikan sumber inspirasi oleh pelajar, para penyelidik dan ahli akademik yang mengenalinya.

Tjia Hong Djin telah dilahirkan pada 19 Februari 1934 di Bandung Indonesia dan telah mendapat pendidikan awal dibeberapa buah institusi pendidikan di Bandung. Pada tahun 1966, beliau meraih ijazah kedoktoran daripada insitutsi terulung di rantau ini, Institusi Teknologi Bandung. Kerjaya beliau bermula di Malaysia sebagai pensyarah di Jabatan Geologi di Universiti Malaya pada tahun 1968 sebelum berpindah ke UKM pada tahun 1970. Sejak itu beliau tidak pernah meninggalkan perjuangannya memartabatkan ilmu berasaskan geosains di negara ini.

Bagi komuniti geosains Malaysia, nama Tjia Hong Djin atau nama penghormatan tidak rasminya pak Tjia begitu sinonim dengan nama Jabatan Geologi UKM yang tertubuh bersama penubuhan universiti tersebut pada tahun 1970. Ketika itu beliau merupakan tunggak utama dalam merangka kurikulum awal geologi yang menekankan pembangunan ilmu geologi dalam bahasa melayu di samping membangun prasarana pengajaran dan menentukan halatuju penyelidikan di jabatan tersebut. Berkat usaha gigih beliau, Program Geologi UKM kini boleh berbangga sebagai salah sebuah institusi pendidikan ilmu geosains terulung dirantau ini. Jasa bakti beliau mengharumkan nama UKM telah dibalas apabila beliau dilantik sebagai profesor pada tahun 1973. Beliau telah berkhidmat di UKM hinggalah ke tarikh persaraan wajib beliau iaitu 1990.

Umur persaraan bagaimanapun tidak membuatkan aktiviti akademik dan penyelidikan beliau terhenti. Selepas persaraan wajib beliau dari UKM pada tahun 1990, khidmat beliau telah ditagih pelbagai pihak yang perlukan kepakaran serta tenaga minda beliau. Ini dibuktikan oleh tawaran bertali arus yang diterima beliau daripada pelbagai institusi penyelidikan dan pendidikan. Selepas persaraan beliau dari UKM, beliau menyambung perkhidmatan sebagai Profesor Pelawat  di Universiti Sains Malaysia (1990-1993), kemudian sebagai Penasihat Teknikal Bahagian Huluan di Petronas Research & Scientific Services sdn. Bhd. Dan sebagai pakar Geologi Struktur di PETRONAS Carigali sdn. Bhd. (2002-2004)

Dalam bidang penerbitan, beliau merupakan antara penyumbang terulung karya tulisan dalam bidang geosains di rantau ini. Lebih 300 makalah beliau telah diterbitkan dalam pelbagai jurnal, prosiding dan ensiklopedia tempatan serta antarabangsa. Beliau telah menerbitkan 6 buah buku ilmiah pendidikan Geologi dalam Bahasa Melayu. Buku-buku beliau telah dijadikan sumber rujukan asas pelajar walaupun beliau telah lama bersara daripada tugas pengajaran wajib. Yang amat terserlah, penulisan beliau tidak sahaja terhad kepada bidang kepakaran beliau iaitu Geologi Struktur. Karya ilmiah beliau merangkumi hampir semua displin geologi, daripada paleontologi, stratigrafi, sedimentologi, volkanologi, geotektonik, geomorfologi, geologi struktur, geologi petroleum, geologi kuarterner hinggalah kajian bulan dan impak jatuhan bahan ekstraterestrial.

Usia bukan penghalang buat anak kelahiran Bandung ini untuk bergiat aktif dalam bidang pendidkan dan penyelidikan Sains Bumi. Pada usia lebih 7 dekad Dr. Tjia masih aktif mengajar secara sukarela, walaupun terpaksa mengorbankan waktu cuti rehat peribadi beliau yang amat berharga. Sebagai geosaintis veteran, beliau masih tetap berjuang mendokong aktiviti - aktiviti tahunan anjuran Persatuan Geologi Malaysia. Beliau tidak putus-putus menyumbangkan idea dan menulis makalah saintifik untuk dikongsi bersama komuniti geosaintis pelbagai generasi. Apa yang lebih menarik ialah keupayaan beliau untuk menyertai generasi geosaintis lebih muda dalam mengembangkan pelbagai disiplin baru geologi seperti geoarkeologi, geoperlancongan, geowarisan, geologi pemuliharaan dan sebagainya. Atas komitmen beliau terhadap pemuliharaan alam sekitar ini pihak Institusi Alam Sekitar  dan pembangunan (LESTARI) UKM telah melantik pak Tjia sebagai Felo Bersekutu Kanan (2000-2003) dan Felo Kehormat mulai 2004.

Ketinggian komitmen beliau terhadap bidang akademik mungkin sesuatu yang begitu sukar ditandingi. Oleh itu, ramai para geosaintis muda di rantau ini memilih Pak Tjia sebagai idola mereka. Sesiapa saja yang telah cuba mengenali beliau secara lebih dekat akan mendapati bahawa Dr. Tjia Hong Djin adalah seorang yang mesra dan mudah untuk dihampiri. Bagi beliau, selagi hayat dikandung badan, ilmu geosains yang beliau miliki harus dikongsi bersama.


 Dipetik daripada Penulisan Prof. Dr. Mohd Shafeea Leman


Artikel ini di edit oleh Muhd Adib Haris & Nusaibah Syahidah Abu Bakar

2 comments:

  1. Assalamualaikum. Hi, saya ni baru ja lepas spm. And dapat result pon okay la cukup2 makan. Saya ditawarkan ke matrik teknikal dan diploma kejuruteraan mekanikal di poli ungku omar ipoh. Nak tnya. Antara 2 tu, yg mana lagi okay untuk sambung ke degree geofizik? Btw, saya ni dari sekolah teknik. Saya minta asasi sains tapi tak dapat. Maybe sbb saya tak ambik bio la kot.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete