Monday 13 April 2015


KAJIAN GEOLOGI


GUNUNG BERAPI VESUVIUS, ITALI

Bandar Pompeii bukanlah suatu nama yang asing jika disebut mengenai Gunung Vesuvius. Dengan jarak antara kedua-duanya dalam anggaran 8km, Bandar Pompeii menyimpan rekod musim panas tahun 79 M di bawah lapisan tebal debris dan debu volkano. Gunung Vesuvius terletak di pantai barat Itali di atas krater gunung berapi Somma kuno dengan elevasi 1281 meter. Vesuvius merupakan sebahagian daripada lingkungan gunung berapi Campanian, yang terletak di dalam jalur gunung berapi yang terbentuk di atas Zon subduksi; pertembungan antara Plat Afrika dan Plat Eurasia. Gunung Vesuvius yang mengambil nama sempena dengan konnya yang mula membesar di dalam kaldera Gunung Berapi Somma yang meletus buat kali terakhirnya sekitar 17000 tahun lalu. Kebanyakkan batuan yang diletuskan terdiri daripada batuan kelas pertengahan seperti andesit, oleh kerana kandungan silika di dalam lava dianggarkan sebanyak 53% - 63%. Letusan lava andesit ini adalah bahaya dan tidak dapat diramalkan. Aliran piroklas dan debu volkano mampu meranapkan keseluruhan  Bandar-bandar purba yang berdekatan dengannya. Gunung Vesuvius mengalami lapan letusan besar sejak 17000 tahun yang lalu. Bukan sekadar menyimpan sejarah geologi di sebalik struktur-struktur pembinaan yang masih utuh, malahan sejumlah besar rakyat Pompeii turut disemadikan di dalam acuan plaster sendiri mengikut gaya kematian masing-masing. Sehingga kini, jutaan manusia yang mendiami kaki-kaki Gunung Vesuvius berdepan dengan risiko berlakunya letusan berapi yang kali terakhirnya meletus pada 1944.

Siti Hajar Ishak


kemusnahan akibat letusan Gunung Berapi Vesuvius Itali



Letusan Gunung Berapi Toba

Danau Toba merupakan sebuah tasik kaldera sedalam 505 meter yang terletak di Sumatra, Indonesia. Kaldera gergasi ini berukuran 100km panjang dengan kelebaran 30km. Tasik yang menjadi tarikan pelancong saban tahun ke Indonesia ini dibentuk hasil beberapa episod letusan gunung berapi. Letusan terbesar  di Toba dianggarkan berskala 8 pada skala VEI (Volcanic Explositiviti Index) dan berlaku kira-kira 73 000 tahun yang lalu. Letusan berusia Kuartener ini memuntahkan 2800km³ magma, iaitu 560 kali ganda lebih banyak bahan volkanik berbanding letusan Pinatubo pada tahun 1991 dengan kira-kira 800km³ gas dan debu volkanik dilepaskan secara terus ke atmosfera bumi. Kesan-kesan letusan gunung berapi Toba telah menyebabkan perubahan suhu global, kesan-kesannya terhadap alam sekitar dan genetik manusia masih dikaji sehingga hari ini.

Suraya Hilmi HaZim


Kaldera Toba



Tektonik Keping : Satu Teori Penyatuan

Teori tektonik keping  merupakan satu teori saintifik yang menggambarkan pergerakkan pada kerak bumi yang terdiri daripada kerak benua dan kerak lautan. Teori ini boleh menjelaskan pelbagai fenomena yang terjadi di kerak bumi. Asas daripada teori tektonik keping adalah teori hanyutan benua dan pemuaian dasar lautan. Ada banyak idea-idea awal tentang hanyutan benua tetapi yang diterima sehingga kini adalah hipotesis daripada Alfred Wegener, seorang ahli meteorit yang menyatakan bahawa semua daratan di bumi asalnya adalah satu benua besar yang disebut Pangea dan kemudian bergerak saling berpisah sehingga membentuk benua-benua dengan kedudukan sekarang. Alfred Wegener memberikan bukti-bukti untuk menyokong hipotesisnya iaitu bukti benua yang sesuai jika digabungkan, keserupaan jujukan batuan, bukti glasier, bukti fosil dan bukti longgokan bijih. Pemuaian dasar lautan juga merupakan salah satu teori asas pengembangan teori tektonik keping. Pemuaian dasar lautan menyebabkan pergerakkan kerak lautan dan kerak benua serta membentuk kerak baru dan memusnahkan kerak yang lama. Pergerakan kerak bumi ini terjadi kerana adanya perolakan haba daripada mantel bumi. Pemuaian dasar lautan juga menyebabkan terbentuknya permatang tengah laut. Paleomagnetik dapat dilihat selari dengan permatang tengah lautan. Pemuaian lantai lautan akan menghasilkan sempadan-sempadan kepingan. Ada 3 jenis sempadan kepingan iaitu sempadan mencapah, sempadan menumpu dan sempadan transformasi. 
Adi Suryadi




Hydromulching Sebagai Kaedah Mengawal Erosi Pada Cerun

Kejadian tanah runtuh boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Langkah yang sistematik perlu dijalankan untuk menjamin kestabilan cerun. Terdapat pelbagai kaedah penstabilan yang telah dipraktikan bergantung kepada kesesuaian dan tahap kecuraman di kawasan cerun. Antara kaedah yang sering dijalankan adalah hydromulching atau biasanya dikenali sebagai hydroseeding yang merupakan kaedah penstabilan cerun dan hakisan tanah dengan teknik semburan bahan pengikat dan benih. Hydromulching ini telah wujud sejak tahun 1950 dan mula diperkenalkan pada tahun 1960 di United Kingdom. Kaedah Hydromulching ini adalah kaedah menutupi hamparan atau permukaan cerun dan tanah dengan tumbuhan. Ianya merupakan kaedah penanaman rumput yang pantas, efisyen dan lebih ekonomi berbanding dengan kaedah sodding iaitu kaedah penanaman rumput secara berkepingan. Hydromulching ini menggunakan campuran beberapa bahan seperti air, serat kayu atau kertas, benih rumput dan baja. Kaedah ini berkeupayaan mengawal hakisan tanah dan mengekalkan kelembapan tanah untuk menggalakkan persekitaran tumbuhan hijau. Walaupun kaedah ini merupakan kaedah penstabilan cerun dan hakisan tanah yang baik, tetapi ianya masih dalam kajian dan pertimbangan dalam penggunaannya secara meluas di Malaysia.

Muhammad Farhad Bin Ramli


Hydromulching on slopes


Penilaian Bahaya Jatuhan Batuan

Jatuhan batuan adalah salah satu geobencana yang sering berlaku pada kawasan perbukitan, pergunungan dan bukaan bawah tanah. Ia adalah proses di mana serpihan batuan terpisah secara gelongsor, rebah atau jatuhan dari tebing yang tegak atau separa tegak. Umumnya jatuhan batuan berlaku pada kawasan cerun yang curam dan juga bukaan bawah tanah seperti gua dan terowong. Jatuhan batuan boleh merosakkan pembangunan dan infrastruktur serta mampu mengancam nyawa manusia. Antara faktor yang membawa kepada bencana jatuhan batuan adalah set ketaselanjaran, kadar hakisan dan jenis batuan. Faktor sebegini adalah semulajadi dan dipengaruhi oleh cuaca, tumbuhan dan haiwan. Faktor lain yang sering dilakukan manusia pula adalah potongan cerun yang tidak stabil, kelebaran jalan raya yang sempit dan tidak membina perangkap jatuhan batuan. Namun masih ada penilaian bagi tahap bahaya jatuhan batuan. Terdapat beberapa parameter ditekankan dalam penilaian jatuhan batuan seperti kadar gred luluhawa batuan, ketinggian cerun, jenis permukaan batuan dan sebagainya. Kejadian geobencana ini boleh diatasi dengan mengurangkan bahaya jatuhan batuan seperti mengenal pasti gred luluhawa batuan dan set ketakselanjaran, memasang pagar perangkap jatuhan batuan dan merendahkan ketinggian cerun.


Abdul Qayyum Bin Jalal

No comments:

Post a Comment