Friday 8 May 2015

Alumni Geologi UKM
(bermulanya sejarah gerakan Sains Bumi di Malaysia)


Jabatan Geologi adalah satu daripada lima jabatan diwujudkan di Fakulti Sains ketika UKM mula ditubuhkan pada 1970. Sejarah gerakan Sains Bumi bermula di sini. Walaupun, Universiti Malaya (UM) mempunyai Jabatan Kajibumi ketika itu, ia sekadar kelangsungan penjejahan Barat untuk meneroka sumber mineral yang terdapat di negara kita. Profesor Tjia Hong Djin dari Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia telah dijemput untuk menjadi Ketua Jabatan pertama untuk membangun kursus dan ahli akademiknya. Hari ini UKM telah melahirkan lebih 2000 orang graduan berijazah Geologi, ratusan pemegang ijazah PhD dan puluhan ahli akademik bergelar Profesor.

Saya merupakan pelajar kohot ke-3, meraih ijazah Sarjanamuda Sains Geologi dengan Kepujian pada tahun 1976. Seterusnya melanjutkan pelajaran untuk ijazah PhD di Strathclyde University, Glasgow. Sekembalinya pada tahun 1979 saya bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Geologi UKM. Anak Melayu pertama menjadi Ketua Jabatan Geologi menggantikan Pak Tjia pada tahun 1980 ialah Dr Ahmad Jantan. Pada tahun 1984, saya telah dilantik menjadi Ketua Jabatan Ke-4 selepas Prof Ismail Mohd Noor. Inilah permulaan kerjaya saya menjadi pemimpin bidang ilmu Sains Bumi di sebuah universiti kebangsaan yang menjadi harapan rakyat dan bangsa Melayu.

Pada akhir tahun 1990an, saya telah dijemput oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Malaysia untuk memberikan seminar kepada Pengarah JMG negeri. Saya kagum apabila melihat semua Pengarah Negeri ketika itu adalah alumni geologi UKM. Sebelum memulakan ceramah, mereka menyatakan 'ini seperti dalam bilik kuliah ketika Prof menyampaikan kursus Geologi Kejuruteraan kepada kami di UKM dahulu'.

Malam tadi, pelajar Program Geologi telah menganjurkan Makan Malam Gala Alumni Geologi UKM di sebuah hotel di Putrajaya. Saya turut sama meraikan alumni geologi dan pelajar sedia ada dalam majlis yang sangat nostalgia itu. Bukan makanan menjadi tumpuan, tetapi pertemuan rakan lama, perkongsian memori dan perasaan kebersamaan yang tinggi. Saya terharu dan sangat gembira bertemu dengan Pak Tjia, mahaguru dan pelopor ilmu Sains Bumi di Malaysia. Walaupun telah berusia lebih 80 tahun, beliau kelihatan sihat, ceria dan bertenaga apabila memperkatakan soal geologi. Saya yakin ramai alumni yang hadir malam itu, melihat saya seperti saya melihat Pak Tjia!

Sebelum wujudnya UKM, bidang geologi dilihat sebagai ilmu sains tulen yang hanya merungkai sejarah evolusi Bumi. Di UM mereka berminat meneruskan legasi penjajah, meneroka sumber mineral ekonomi untuk di lombong sebagai bahan komoditi untuk diekspot. Di UKM, ilmu geologi telah diperluaskan untuk melihat isu pembangunan dan kesejahteraan sosial yang memerlukan input ilmu geologi ini.
Geologi Kejuruteraan diperkenalkan untuk membantu jurutera membangun prasarana secara lebih selamat dan optimum. Geologi Sekitaran diperkenalkan bagi membantu negara menangani masalah pencemaran dan bencana alam, termasuk tanah runtuh dan banjir besar. Untuk pembangunan industri petroleum pula, UKM telah memperkenalkan sub-bidang Geologi Petroleum. Mereka di belakang tabir dalam industri petroleum, kuari, pembangunan prasarana dan penjagaan alam sekitar.

Dato Yunus Abdul Razak, Ketua Pengarah JMG, juga alumni geologi UKM ketika menyampaikan ucapan perasmian menyatakan 'kini terbukti, UKM telah melahirkan graduan geologi yang berwibawa, berjawatan tinggi dan menjalankan industri perkhidmatan yang membanggakan. Soalnya, apakah yang kita semua dapat sumbangkan kepada UKM?' Ini persoalan kebersamaan menjaga masa depan dan imej cemerlang UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan. Saya fikir masanya telah tiba, kita mewujudkan Persatuan Alumni Geologi UKM, dan bersama menyumbang kepada meningkatkan kecemerlangan program geologi di UKM.

Kita sedia maklum, seperti bidang ilmu sains tuleh lain, bidang Geologi kini berada di persimpangan. Sub-bidang penting yang menjadi asas kepada ilmu geologi seperti mineralogi, petrologi, paleontologi, geomorfologi, sedimentologi, geologi struktur semakin kurang digemari - kononnya tiada nilai ekonomi. Semua bidang ini sedang mengalami kepupusan, pakar yang ada hampir atau sudah bersara, pelapis baharu tidak berminat untuk meneruskan perjuangan gurunya. Pesatuan Alumni Geologi boleh memainkan peranan penting mengembalikan kegembilangan geologi lampau.

Ahli geologi tidak boleh lagi berada di belakang tadbir, mereka perlu memimpin di barisan hadapan pembangunan negara. Sebahagian besar daripada penyelesaian isu negara seperti bencana alam, perubahan iklim, sumber air bersih, sumber bumi, perancangan guna tanah, kesihatan alam sekitar dan pembangunan lestari memerlukan input dan kepakaran bidang geologi. Alumni Geologi UKM boleh memainkan peranan penting untuk mengarusperdanakan ilmu sains geologi untuk pembangunan negara.

Melihat ke belakang, alumni Geologi UKM merupakan pelakar sejarah perkembangan ilmu Sains Bumi di Malaysia. Sebahagian besar daripada pakarnya telah bersara atau hampir bersara. Jika negara ingin mengumpul sejarah lisan perkembangan sains bumi moden negara, inilah masa terbaik untuk melakukannya.


Nukilan Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo

No comments:

Post a Comment