Saturday 19 July 2014

PROGRAM ANJURAN MAHASISWA GEOLOGI UKM


PERKONGSIAN PENGALAMAN MAHASISWA GEOLOGI UKM
(Perkongsian dalam memanfaatkan masa lapang)


Cikgu

“Assalamualaikum cikgu”. Ucapan itu masih tergiang-giang dalam ingatan saya. Walaupun tidak lama saya bertugas sebagai cikgu ganti, namun ia merupakan pengalaman yang bermakna bagi saya.

Selepas sahaja tamat belajar daripada Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, saya mengambil peluang untuk menimba pengalaman dan memanfaatkan cuti yang panjang dengan menjadi guru ganti di sekolah saya sendiri iaitu SMK Bandar Tun Hussein Onn2. Hasrat menjadi guru sememangnya salah satu daripada impian dan cita-cita saya. Sejak di bangku sekolah lagi, saya sangat berminat dengan aktiviti mengajar junior dan rakan-rakan.

Pengalaman semasa bersekolah dahulu, bertugas sebagai Ketua Pengawas Pusat Sumber, setiap hari saya akan ‘stayback’ di sekolah. Bayangkan dari pagi hingga ke petang, lebih kurang 10 jam saya berada di sekolah. Sekolah telah menjadi seperti rumah kedua bagi saya. Oleh itu, ia memberi kesan yang mendalam kepada saya  sehingga walaupun selepas SPM, saya berasa amat berat hati untuk meninggalkan sekolah ini. Jadi disebabkan kerinduan yang mendalam dan semangat yang berkobar-kobar saya pun mengambil keputusan untuk kembali ke sekolah, bukan sebagai pelajar  tapi sebagai seorang guru.

Pada mulanya ramai yang terkejut ketika saya mula masuk menjadi cikgu di sekolah ini. Mana tidaknya, ‘cikgu muda’. Memang tidak dinafikan pada mulanya saya berasa agak sedikit kekok, cikgu-cikgu yang dahulunya mengajar saya, kini menjadi rakan sekerja saya pula. Walaubagaimanapun saya berasa sungguh gembira menjadi cikgu, bukan sahaja menjadi perhatian pelajar-pelajar dan guru, malah ibu bapa. Banyak tawaran tuisyen yang saya terima, tetapi saya terpaksa menolak kerana saya ingin fokus kepada perkara-perkara lain dalam membina jati diri dan menimba lebih banyak ilmu lagi.

Pepatah Inggeris ada menyebut “walk a mile in my shoes and you will know how we get through”. Terasa bagai mahu tergigit lidah ketika terkenangkan kata-kata ini. Apabila saya sendiri merasai pengalaman menjadi cikgu, kini baru saya tahu dan sedar bahawa tugas sebagai cikgu ini sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Jika kita tidak dapat memberikan yang terbaik kepada pelajar, kita akan berasa resah dan gelisah. Seorang cikgu juga perlu melakukan banyak perkara dan seboleh-bolehnya memberi perhatian terhadap murid-muridnya. Murid ramai, tetapi cikgu hanya seorang. Tambahan lagi, ibu bapa mengharapkan anaknya dididik dan diawasi cikgu. Ini bukan suatu tugas yang mudah dan ianya tidak hanya terhenti di sekolah, ada kerja-kerja yang terpaksa dibawa balik pulang ke rumah untuk diselesaikan.


Pengalaman manis

Pengalaman manis saya menjadi cikgu di sekolah ini adalah pengalaman saya bersama murid-murid saya. Ini sememangnya pengalaman yang berharga dan bukan semua orang muda seperti saya dapat merasai pengalaman ini. Hari pertama bertugas sememangnya semua pelajar berasa hairan, tetapi lama-kelamaan perasaan seperti saya abang mereka pula. Saya faham akan kehendak dan minat pelajar-pelajar, kerana saya dahulu pun seorang pelajar. Mereka sentiasa ingin belajar dalam suasana yang menarik dan gembira. Ini sememang satu cabaran bagi saya. Mana tidaknya, terpaksa mencari segala sumber untuk mengajar dan pada masa yang sama menarik. ketika saya menjadi cikgu, saya sentiasa memberi inspirasi dan dorongan kepada pelajar. Bagi saya inspirasi dan doronganlah yang paling penting dalam memberi pendidikan. Harapan saya adalah saya mahu anak-anak murid saya menjadi insan yang lebih baik daripada saya dan dapat membentuk masa depan mereka sendiri.

Menempuh hari demi hari dengan membawa gelaran cikgu memang membanggakan. Pergi ke mana saja murid-murid akan panggil “cikgu”. Ini memang pengalaman yang terbaik bagi saya dan saya juga berharap ramai lagi golongan muda seperti saya, pelajar lepasan asasi, matriks dan A-level dan peringkat universiti untuk memanfaatkan cuti yang panjang dengan kerja yang berfaedah dan merasai pengalaman yang hebat ini. 




PROGRAM ANJURAN MAHASISWA GEOLOGI UKM



PROGRAM INSPIVASI GENERASI 2013



Program Inspivasi Generasi adalah program khas yang diwujudkan untuk memberi inspirasi, motivasi, dorongan dan pengaruh kepada generasi muda. Program ini  bermatlamat untuk membawa perubahan inkepada pemikiran generasi muda supaya lebih peka dan matang, memupuk kesedaran tentang kepentingan berusaha dan berjaya, menjana minat  serta mempengaruhi  pelajar supaya menjadi insan yang berilmu dan berkualiti.

Program Inspivasi Generasi ini diilhamkan daripada hasil kajian kami terhadap sikap generasi muda yang kurang berminat terhadap pelajaran dan penularan gejala sosial yang semakin berleluasa dalam kalangan pelajar. Kami melalui program Pembangunan Diri, Universiti Kebangsaan Malaysia mewujudkan program ini atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab sosial kami untuk bersama-sama membantu dan memajukan generasi muda supaya mereka menjadi insan yang berguna yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Sasaran golongan generasi muda ini adalah pelajar sekolah menengah kebangsaan iaitu pelajar tingkatan satu (3 kelas terakhir). Sasaran menjurus kepada golongan ini kerana tahap pemikiran dan semangat mereka yang amat sesuai dibentuk, mereka bersemangat untuk mencuba perkara baru serta mudah dipengaruhi. Program ini akan menggunakan pendekatan yang terbaik dan berkesan bagi mempengaruhi dan menjana minat pelajar. Konsep pengaruh dan inspirasi menjadi tonggak utama dalam pelaksanaan program ini.
Penganjuran program ini dan kerjasama daripada pelbagai pihak dijangka dapat membantu dalam melahirkan generasi muda yang berpotensi, berkebolehan dan cemerlang di samping mewujudkan ideologi baru dalam generasi muda yang membawa kepada kemajuan dan pembangunan diri serta dapat menyelesaikan masalah sahsiah dan sosial pelajar pada masa kini.

1.0            MATLAMAT

Membentuk generasi muda daripada permulaan perkembangannya dalam usaha menambahkan minat pelajar terhadap pelajaran dan mempengaruhi pelajar supaya tidak terlibat dengan gejala sosial dan perkara yang tidak berfaedah.


2.0            OBJEKTIF

2.1 Membentuk generasi muda daripada permulaan perkembangannya
2.2. Menambah ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran asas kepada pelajar     
2.3 Mempengaruhi, membantu dan mendorong pelajar
2.4 Mengenalpasti pelajar yang berpotensi dan berkebolehan
2.5 Menjana minat, memangkin semangat dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk 
     berjaya



3.0            TEMA
                
                  “Pendidikan Mercu  Kejayaan”


4.0            TEMPAT PROGRAM
         
              Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2


5.0            SASARAN

Pelajar tingkatan satu SMK Bandar Tun Hussein Onn 2 ( tiga kelas terakhir )  


6.0   PENGLIBATAN DAN PENYERTAAN

Antara pihak- pihak yang terlibat dalam program ini :

Fasilitator : Mahasiswa Geologi UKM Kumpulan Gemilang, Projek Pembangunan Diri II
                         
Pelajar Tingkatan 1: Pelajar 3 kelas terakhir (120 orang)



Adalah menjadi harapan agar Program Inspivasi Generasi ini mencapai objektif dan serba sedikit dapat memberi kesan kepada mentaliti dan pemikiran anak muda.

Didahulukan maaf atas segala kesalahan dan kekurangan yang terdapat sepanjang program diadakan dan semoga usaha kita mendapat keredhaanNya. Segala kerjasama dan pertolongan daripada semua pihak diucapkan terima kasih.


No comments:

Post a Comment